PUTRAJAYA: Kerangka jaringan keselamatan ekuiti bumiputera yang dicadangkan baru-baru ini bukan bertujuan mengambil hak kepentingan kaum lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, cadangan itu sebenarnya merujuk kepada penjualan saham dan syarikat oleh agensi mandat bumiputera sahaja.
Beliau berkata, cadangan penjualan ini tidak melibatkan saham dan syarikat yang akan dijual oleh individu bumiputera, bukan bumiputera atau syarikat asing.
“Di bawah kerangka jaringan keselamatan ekuiti, penjualan akan ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera yang berkelayakan.
“Saya akui pengumuman cadangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 (RMK-12) baru-baru ini telah menimbulkan beberapa tafsiran berbeza.
“Malah, perkara ini juga dibangkitkan beberapa pihak sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah bumiputera akan mengambil hak kaum lain,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Katanya, pada tahun 2019, pemilikan bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2 peratus.
Mustapa berkata, pengumuman cadangan ini dibuat bagi memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan bumiputera dan tidak terhakis.
“Sebagai contoh, bagi perolehan hartanah yang melibatkan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera dan/atau agensi kerajaan bernilai RM20 juta dan ke atas, perlu mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Katanya, antara agensi mandat bumiputera yang dimaksudkan dalam cadangan itu termasuk Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis DiRaja Malaysia (KPDRM).
“Agensi amanah bumiputera pula adalah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), VentureTECH Sdn. Bhd, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia Yapeim) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB),” katanya. – UTUSAN ONLINE










