BACHOK: Seluruh Kelantan dijangka luar biasa sesak mulai hujung minggu ini dengan pertambahan sekurang-kurangnya 50,000 kenderaan perantau yang balik kampung selepas rentas negeri dibenarkan.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, gelombang balik kampung kali ini dijangka jauh lebih hebat berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lalu yang merekodkan pertambahan lebih 11,000 kenderaan.
“Kita dapati semalam belum banyak lagi kenderaan yang masuk ke Kelantan kerana perantau masih bekerja.
“Kemasukan kenderaan bertambah hari ini dan kita jangka jumlahnya mencecah 50,000 hujung minggu ini,” kata kepada pemberita ketika menghadiri Program Bersama Masyarakat di Pasar Jelawat, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Aziz Kadir.
Shafien berkata, sebagai persiapan menerima kemasukan perantau dan pelancong domestik, polis akan membuat pemantauan di semua tempat awam dan tumpuan ramai bagi memastikan SOP dipatuhi.
“Kepada semua pihak yang masuk ke Kelantan, sama ada perantau atau pelancong, saya nasihatkan agar patuhi SOP bagi mengelak jangkitan wabak Covid- 19 terus menular di negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu pondok bit polis Jelawat yang terbakar akibat perbuatan khianat pada 11 September lalu sedang dibaiki secara bergotong-royong dengan masyarakat setempat.
“Ini menandakan bahawa masyarakat di sini menyedari kepentingan pondok bit polis di lokasi yang menjadi tumpuan ramai,” katanya. -UTUSAN ONLINE