Kedai serbaneka EMART24 rancakkan sektor peruncitan negara  - Utusan Malaysia

Kedai serbaneka EMART24 rancakkan sektor peruncitan negara 

ROSOL Wahid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong pelaburan yang dibuat oleh syarikat tempatan, EMART24 Holdings Sdn. Bhd. membawa masuk jenama kedai serbaneka popular dari Korea Selatan ke negara ini. 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah syarikat berkenaan melabur dalam sektor peruncitan khususnya bagi segmen kedai serbaneka di Malaysia menunjukkan keyakinan tinggi pelabur luar terhadap sektor peruncitan di negara ini. 

“Peningkatan pelabur dalam sektor ini turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutama ketika banyak syarikat dan perniagaan terkesan dengan pandemik Covid-19. 

“Kementerian terus menerima maklum balas positif daripada syarikat pelabur luar yang berminat melabur dalam sektor peruncitan di negara ini dari semasa ke semasa. 

“Kementerian juga akan terus memastikan sektor peruncitan kekal berdaya saing dan dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan serta pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Untuk rekod, EMART24 mula dibuka di negara ini pada 22 Jun lalu dan cawangan syarikat berkenaan di Bandar Sunway di sini, merupakan cawangan kelima dibuka. EMART24 merancang membuka tujuh buah cawangan tahun ini di sekitar Lembah Klang. 

EMART24 menawarkan konsep kedai serbaneka baharu kepada pengguna dengan penggunaan sistem peruncitan digital dan harga barangan yang lebih berpatutan.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN