Jangan balik Kelantan jika belum lengkap vaksin - Utusan Malaysia

Jangan balik Kelantan jika belum lengkap vaksin

AHMAD Yakob (kanan) bersama Wan Roslan Wan Hamat (kiri) pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan di Panji, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perantau yang belum lengkap dua dos vaksin Covid-19 dinasihatkan tidak pulang ke Kelantan meskipun kerajaan dijangka membenarkan rakyat merentas negeri dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, anak Kelantan di perantauan sebaik-baiknya perlu melengkapkan dua dos vaksin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk pulang bertemu keluarga.

Perkara itu kata beliau, penting bagi mengelak penularan Covid-19 kepada keluarga atau pesakit kronik.

“Saya mohon agar jangan pulang ke kampung sekiranya mempunyai gejala jangkitan. Semua pihak perlu bertenang apabila keputusan rentas negeri dibenarkan selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, statistik terkini menunjukkan kadar vaksinasi di Kelantan sudah mencapai 79 peratus, berbeza dengan statistik di peringkat pusat yang menunjukkan peratusan lebih rendah.

“Ini kerana ada anak Kelantan yang merantau dan kemungkinan besar mereka sudah menerima dua dos vaksin di luar Kelantan. Keadaan ini menyebabkan vaksinasi di Kelantan tidak secepat negeri lain.

“Saya yakin hasrat dan sasaran kerajaan untuk memperoleh 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN