PUTRAJAYA: Infrastruktur digital inklusif perlu dibina negara-negara ASEAN agar mudah diakses dan berpatutan untuk semua bagi membentuk semula ekosistem digital demi masa depan perniagaan dan komuniti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia antara tiga cadangan untuk memastikan peralihan teknologi digital tidak terganggu dengan memastikan pertumbuhan inklusif, mapan dan berdaya tahan.
Beliau berkata, dalam hal ini, Malaysia telah mengambil usaha untuk menambah baik infrastruktur asas, dengan pelancaran inisiatif Pelan Tindakan Digital Malaysia (MyDIGITAL) awal tahun ini seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
“Ia bertujuan mengubah negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang didorong teknologi di samping meningkatkan infrastruktur digital untuk hubungan yang lancar dan luas.
“Aspirasi ini sedang dilaksanakan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan peruntukan sekitar AS$6.7 bilion bertujuan meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar selain menuju teknologi 5G bagi membolehkan Malaysia meningkatkan kesiapsiagaan serta menjadi pemangkin ekosistem yang kondusif untuk ekonomi inovatif,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN 2021 hari ini.
Ismail Sabri berkata, cadangan kedua ialah mempromosikan literasi digital inklusif yang mana Malaysia membangunkan bakat digital masa depan sebagai salah satu strategi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan baru-baru ini.
Kata beliau, di bawah rancangan ini, langkah-langkah berterusan dilaksanakan dalam meningkatkan kemahiran digital bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini.
Beliau menjelaskan, Malaysia secara konsisten mengembangkan latihan industri, termasuk latihan pendidikan teknikal dan vokasional, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dan inovasi.
“Semua usaha tersebut bertujuan mengembangkan bakat digital dalam kalangan rakyat melalui pendekatan menyeluruh selain mendekatkan jurang kemahiran digital di rantau ASEAN menerusi kerjasama negara-negara anggota memandangkan ada antara negara mengalami lebih dari 90 peratus penembusan digital, sementara yang lain hanya sebanyak 40 peratus,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia telah meningkatkan tahap digitalisasi golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana sebagai cadangan ketiga bagi usaha peralihan digital supaya komuniti sektor itu tidak mengalami kesan teruk pasca pandemik.
Katanya, pendekatan ini sangat penting bagi Malaysia, kerana golongan itu menyumbang lebih dari 90 peratus perniagaan ekonomi ASEAN.
“Oleh itu, penerapan teknologi digital yang baik sangat penting untuk revitalisasi dan pemulihan ekonomi berterusan dan ini menunjukkan perkembangan konsisten dalam memperluas akses pasaran sektor perniagaan itu supaya tidak berisiko ditinggalkan dalam era pasca pandemik ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE