HyTalent MADC pacu industri 4IR - Utusan Malaysia

HyTalent MADC pacu industri 4IR

MOHAMED AZMIN (tengah) diiringi Arham (tiga kanan) bergambar kenangan selepas Majlis Menandatangani Perjanjian program HyTalent MADC antara MIDA, UKM, UTM, dan UPM di Kuala Lumpur. - Ihsan MIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk pelaksanaan program Hytalent yang akan digerakkan oleh Pusat Penilaian dan Pembangunan MIDA (MADC).  

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program tersebut merangkumi hala tuju ke arah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mengembangkan dan melengkapkan bakat masa depan dengan set kemahiran Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR).

“Kemahiran itu penting bagi mereka untuk mengikuti perkembangan pesat teknologi dan memenuhi permintaan industri.

“Menerusi perkongsian strategik tersebut, kerajaan menjangkakan tenaga kerja Malaysia yang lebih mahir dan pelbagai terutamanya dalam sektor pembuatan, memandangkan program itu diatur secara unik untuk memberi kepemimpinan intensif dan latihan teknikal dalam bidang internet kebendaan (IoT) dan internet kebendaan industri (IIOT),” katanya dalam kenyataan sempena majlis itu.

Beliau memberitahu, program HyTalent MADC menyasarkan seramai 500 bakat tempatan dapat dilahirkan dalam bidang IoT serta IIOT dan boleh diambil untuk bekerja dalam syarikat Malaysia dengan pampasan atau gaji yang lebih tinggi daripada biasa setelah tamat pengajian.

Ujarnya, itu adalah bukti fokus berterusan kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi bagi memastikan rakyat Malaysia dapat memperoleh faedah pelaburan jangka panjang dalam negara, sekali gus meningkatkan ekosistem industri secara keseluruhan bagi mendorong pertumbuhan ekonomi pascapandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan UKM, UTM dan UPM untuk melaksanakan program HyTalent MADC, yang mana universiti-universiti terkemuka itu akan memberi kelayakan dan pengalaman yang relevan untuk menyokong graduan baharu.

“Ia bertujuan untuk melatih pemimpin masa depan dengan kemahiran teknikal seperti yang diperlukan oleh industri.

“MIDA di bawah pengawasan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga akan terus mendukung mandat kami untuk memudah cara teknologi, pelaburan berasaskan pengetahuan dan pelaburan intensif modal yang akan memberi kesan pengganda terhadap ekonomi Malaysia termasuk menjana pekerjaan yang berkualiti.

“Kami harap program itu akan menyumbang ke arah meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing global negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN