Hanya gurauan, tiada hantu dalam masjid  - Utusan Malaysia

Hanya gurauan, tiada hantu dalam masjid 

TANGKAP layar lembaga putih yang berada dalam ruangan solat Masjid Banggol Peradong di Kuala Terengganu yang tular.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga putih yang didakwa muncul di ruangan solat Masjid Banggol Peradong di sini disahkan bukan hantu, sebaliknya hanya rekaan kalangan pemuda kampung semata-mata untuk bergurau sesama mereka. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu, Zulkifli Mamat berkata, perbuatan itu dilakukan kumpulan pemuda berkenaan ketika mereka terlibat membaiki kamera litar tertutup (CCTV) masjid pada tengah malam, Rabu lalu. 

Katanya, siasatan mendapati video seram berkenaan terlebih dahulu dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp Kampung Banggol Peradong, namun, tidak mendapat perhatian ramai kerana masing-masing faham ia bermotifkan gurauan. 

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila tiba-tiba dihubungi ramai orang termasuk polis kerana video ‘hantu’ itu sudah tular dalam media sosial.

“Hasil siasatan mendapati perbuatan kumpulan pemuda berkenaan hanya untuk bergurau sesama mereka dan tiada niat mahu menakutkan masyarakat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Video berdurasi 30 saat itu tular dalam media sosial sejak semalam sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kemunculan hantu di masjid.

Zulkifli berkata, kesemua pemuda itu termasuk yang merakam video berkenaan mengakui kesalahan mereka dan memohon maaf atas gurauan seram yang dicetuskan. 

Sehubungan itu, dia meminta orang ramai agar tidak panik atau takut untuk ke masjid susulan video tular. 

“Kebanyakan orang kampung di samping jemaah masjid tidak tahu tentang kejadian itu, dan kisah berkenaan hanya menjadi perbualan dalam kalangan orang-orang muda yang mempunyai telefon pintar,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya