KUALA LANGAT: Sebanyak lapan buah pantai peranginan di daerah ini ditutup sehingga Ahad ini bagi memastikan keselamatan awam berikutan fenomena air laut pasang besar.
Pantai terlibat adalah Kelanang, Pantai Baru Morib, Morib, Taman Harmoni, Istana Bahagia, Batu Laut, Cunang dan Jeti Tanjung Sepat apabila paras air laut pasang dijangka mencapai sehingga 5.6 meter.
Paras air dilaporkan tertinggi berlaku hari ini dan esok sekitar pukul 6.30 pagi hingga 8.13 pagi manakala pada Ahad pula menunjukkan trend menurun dengan mencatatkan paras air tertinggi pada 5.4 meter pada pukul 8.13 pagi.
Sehubungan dengan itu, penduduk di pesisir pantai di daerah Kuala Langat disaran berhati-hati dan berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar itu.
Baru-baru ini, pantai-pantai berkenaan menjadi tumpuan ribuan pengunjung selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas daerah dan aktiviti di pusat peranginan.
Sementara itu, di Pulau Ketam, banjir daripada air laut pasang besar sejak semalam menjejaskan kira-kira 20 peratus rumah di pulau itu selepas paras air meningkat sehingga 5.6 meter.
Namun, rutin harian penduduk di sana dikatakan berjalan seperti biasa, malah tiada gangguan dilaporkan terhadap jadual perjalanan feri dari Jeti Pelabuhan Klang ke pulau itu.
Situasi itu dimaklumkan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bagan Pulau Ketam, Chua Meng Jack yang memaklumkan keadaan air pasang kali ini adalah tidak seburuk berbanding tahun apabila parasnya mencecah sehingga 5.9 meter.
Baru-baru ini juga viral di media sosial dan media perdana ribuan pengunjung memenuhi pantai di daerah ini seperti di Pantai Morib, Pantai Cunang dan Pantai Kelanang selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas daerah dan aktiviti di pusat peranginan. – UTUSAN ONLINE









