Elak krisis lojistik di Pulau Tioman - Utusan Malaysia

Elak krisis lojistik di Pulau Tioman

MOHD. JOHARI Hussain (kanan) melancarkan aplikasi My Desa di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Penangguhan gelembung pelancongan domestik di Pulau Tioman, Rompin dekat sini yang dijadualkan hari ini dibuat bagi mengelakkan berlakunya krisis lojistik di pulau peranginan terkenal dunia itu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain berkata, penangguhan yang diumumkan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dilaksanakan setelah mengambil kira nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Menurutnya, selaku wakil rakyat di kawasan Tioman, beliau akur dengan keputusan dikeluarkan walaupun menyedari terdapat pemain industri dan pelancong terkejut dengan penangguhan tersebut.

 

“Pihak berkenaan ada alasan kukuh untuk menangguhkan gelembung pelancongan di Pulau Tioman dan destinasi lain di Pahang.

 

“Keputusan dan alasan konkrit diambil setelah mengambil kira jumlah positif Covid-19 masih tinggi dan impak pembukaan pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Jubli Emas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Temerloh di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

 

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri hanya apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

 

Mohd. Johari berkata, jika berlaku kes positif Covid-19, perbelanjaan besar diperlukan bagi memindahkan pesakit keluar dari Pulau Tioman ke hospital penempatan pesakit di Rompin.

 

Menurutnya, masalah berlaku apabila tidak ramai pemilik pengangkutan laut mahu menanggung risiko membawa pesakit Covid-19.

 

Berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Pulau Tioman, beliau berkata, pengunjung wajib lengkap dua dos vaksin dan mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19.

 

“Pelancongan juga hanya perlu melalui pintu masuk utama Jeti Tanjung Gemok, Rompin dengan menaiki feri yang disediakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN