Bank Islam ambil alih status penyenaraian BHB - Utusan Malaysia

Bank Islam ambil alih status penyenaraian BHB

MOHD. MUAZZAM menunjukkan papan Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas Bank Islam melengkapkan pengambilalihan status penyenaraian dari BHB. - Ihsan Bank Islam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad melengkapkan pengambilalihan status penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia daripada BIMB Holdings Berhad (BHB) semalam.

Menurut bank patuh syariah perintis itu, ia menjadikan Bank Islam sebagai institusi perbankan Islam tulen dan lengkap yang disenaraikan dalam pasaran tersebut.

Katanya, penyenaraian itu turut menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula Kumpulan BHB yang meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikatnya.

“Langkah-langkah penjajaran semula dalaman ini turut meliputi pengagihan dan pembayaran semula modal yang melibatkan pengagihan semula semua pegangan BHB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) kepada pemegang saham BHB, seterusnya pemindahan status penyenaraian BHB di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada Bank Islam.

“Pada masa sama, BHB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam dengan Bank Islam mengambil peranan sebagai syarikat induk.

“Langkah ini menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali takaful kendiri dengan pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat serta perniagaannya, selain menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat tersebut.

Kata beliau, melalui penyenaraian itu, Bank Islam mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya untuk menyokong program pengembangan dan pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan dengan cekap.

“Penyenaraian ini membuka peluang kepada pelabur untuk terlibat secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan Kumpulan Bank Islam baharu, yang meliputi BIMB Investment Management Berhad dan BIMB Securities Sdn. Bhd.

“Melalui pendekatan bersinergi dan holistik, Bank Islam berhasrat untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025,” katanya.

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) berperanan sebagai penasihat utama dalam pelaksanaan penyusunan semula BHB. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN