Antivaksin: Baca balik sejarah tamadun Islam - Utusan Malaysia

Antivaksin: Baca balik sejarah tamadun Islam

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan antivaksin diminta membaca semula sejarah tamadun Islam jika mahu berhujah berlandaskan agama bagi menolak vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, jika mereka membacanya, mereka akan menemui kisah tentang ilmuwan dan tokoh perubatan Islam yang percaya kepada kajian-kajian yang dilakukan.

“Kalau mereka nak bercakap berdasarkan agama, buka balik sejarah tamadun Islam, banyak ilmuwan dan tokoh perubatan seperti Al Razi, Ali Abbas dan Abu Ali Hasan al-Haitham. Mereka melakukan kajian sebelum mengatakan sesuatu, mereka percaya kepada keputusan kajian yang dibuat.

“Kenapa golongan antivaksin tak nak mengikut mereka, kenapa masih perlu lagi mengikut teori-teori mengarut yang dikeluarkan oleh individu yang tidak mempunyai ilmu dalam bidang perubatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, golongan antivaksin tidak boleh menuduh kerajaan tidak adil kerana tanggungjawab kerajaan adalah mencipta dasar yang melindungi masyarakat umum, bukan untuk menjaga kebajikan individu tertentu.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, tiada alasan untuk golongan
antivaksin menolak vaksin Covid-19, malah hujah-hujah yang diberikan oleh mereka hanyalah andaian tanpa bukti yang konkrit.

Beliau kecewa apabila golongan yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja enggan mengambil vaksin, malah cuba untuk mempengaruhi masyarakat awam untuk tidak mengambil vaksin Covid-19.

“Hakikatnya, kerajaan boleh mewajibkan warganegara yang layak untuk mengambil vaksin Covid-19 supaya dapat mencegah. Mengikut hukum fekah, pihak kerajaan dikehendaki bertindak berdasarkan kepada kepentingan majoriti rakyat,” jelasnya.

Beliau meminta kerajaan supaya tidak tunduk kepada tekanan segelintir golongan yang menentang vaksinasi Covid-19 dan tidak perlu was-was untuk mewajibkannya kerana tindakan sedemikian adalah selaras dengan ajaran agama Islam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN