PETALING JAYA: Anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) mengumumkan agihan pendapatan akhir Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.35 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.
Jumlah itu terdiri daripada agihan pendapatan sebanyak 2.15 sen seunit dan agihan bonus sebanyak 0.20 sen seunit. Pendapatan bonus itu diagihkan untuk 500,000 unit pertama yang dipegang setiap pemegang unit.
Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmad Najib Nazlan berkata, selaras dengan aktiviti ekonomi negara yang sedang beransur pulih, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyimpan dan melabur demi mencapai masa depan yang lebih stabil.
“Kami berbesar hati memaklumkan kami sedang berusaha untuk memperkenalkan skim pelaburan semula pengagihan pendapatan khusus kepada pemegang unit runcit yang mana agihan pendapatan yang diperolehi dilaburkan semula sama ada sebahagian ataupun keseluruhan unit.
“Menerusi skim tersebut, agihan pendapatan akan dilaburkan semula dan pemegang unit akan mendapat manfaat daripada kesan pengkompaunan ke atas pulangan serta peningkatan pegangan unit secara automatik tanpa perlu menunggu tawaran unit baharu,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, ujarnya, pelaburan semula itu tidak akan diperkenalkan untuk agihan pendapatan kali ini, malahan pengagihan masih akan dibayar secara tunai.
Pada April lalu, PHB dan MAM telah mengumumkan pendapatan interim sebanyak 2.15 sen seunit berserta pengagihan bonus sejumlah 0.20 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2021.
Itu menjadikan jumlah agihan pendapatan kepada 4.70 sen seunit, atau jumlah agihan sebanyak RM169.40 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2021.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, disebalik prestasi pasaran hartanah yang mencabar akibat peningkatan kadar kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari tahun lalu, pihaknya berpendapat pulangan sebanyak 4.70 sen seunit selepas zakat masih merupakan pulangan pelaburan yang kompetitif.
Jelasnya, walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, PHB mampu untuk mengekalkan kadar penghunian yang stabil bagi aset-aset kami yang terdiri daripada kompleks membeli-belah, gudang perindustrian dan bangunan hospital swasta.
“Meskipun terdapat penurunan kadar penghunian bagi bangunan-bangunan pejabat, trend atau pola tersebut adalah selari dengan pasaran semasa.
“Sejak awal pandemik, PHB telah memperuntukkan sebanyak RM49 juta untuk Rental Relief Programme di mana kami membantu meringankan beban para penyewa yang terjejas.
“Bantuan itu diberi dalam bentuk pengecualian atau penangguhan pembayaran sewa kepada para penyewa yang layak,” katanya.
Mahmud Fauzi memberitahu, PHB juga baru sahaja selesai menyempurnakan pembelian sebuah bangunan kolej pendidikan swasta antarabangsa di Johor selain telah menyiapkan pembinaan sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur yang akan disewakan sepenuhnya kepada KPJ Healthcare Berhad.
Menurut beliau, kedua-dua aset itu akan meningkatkan portfolio hartanah PHB sebanyak RM740 juta dan mereka merancang untuk menyuntik aset-aset tersebut ke dalam AHB dalam masa yang terdekat.
AHB ialah sebuah dana unit amanah patuh Syariah yang berlandaskan hartanah. Pelaburan permulaan minimum bagi pelabur individu ialah RM100.
Dana itu direka untuk pelabur yang mencari peluang untuk menjana pendapatan tetap dengan potensi pulangan konsisten. – UTUSAN ONLINE