Agensi kerajaan diminta semak peraturan sedia ada - KSN - Utusan Malaysia

Agensi kerajaan diminta semak peraturan sedia ada – KSN

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri digesa bertindak lebih proaktif dalam membuat semakan peraturan sedia ada supaya kekal relevan dan menyokong pertumbuhan produktiviti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, peraturan yang berkualiti akan menambah baik persekitaran perniagaan seterusnya syarikat-syarikat boleh beroperasi dengan lancar.

Katanya, semua Pengawal Selia amat disarankan membuat semakan terhadap akta dan peraturan yang berkuat kuasa dan ini bertitik tolak dari transformasi minda ke arah penambahbaikan penyampaian peraturan, pematuhan serta memudahcara urusan operasi perniagaan. 

“Sebagai jentera pembangunan ‘Keluarga Malaysia’ , penjawat awam hendaklah mempunyai minda yang terbuka dan positif dalam menerima dan melaksanakan pembaharuan yang membawa kepada kemakmuran negara.

“Ia seiring dengan Kempen Jom Semak yang merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan melalui Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2021 bertajuk Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 22 Jun lalu,” katanya sempena pelancaran kempen terbabit di sini hari ini. 

Mohd Zuki berkata, pekeliling itu memberi arahan kepada semua agensi kerajaan untuk mematuhi Sistem Pengurusan Proses Peraturan seperti yang termaktub di dalam Pekeliling ini.

 Katanya, ia merupakan komitmen kerajaan menambah baik ekosistem peraturan negara yang meliputi penghasilan dan penguatkuasaan peraturan yang berkualiti, lebih komprehensif, tangkas serta responsif dalam memenuhi keperluan masa kini dan akan datang. 

“Malah, inisiatif ini amat bertepatan dengan Pelan Pemulihan Negara di mana aktiviti-aktiviti ekonomi semakin rancak sekali gus dianggarkan lebih 1,000 pengawal selia akan mendapat manfaat daripada kempen ini dan seterusnya membawa kesan berganda kepada komuniti perniagaan dan rakyat secara keseluruhan.

“Usaha ini perlu kerjasama erat semua pihak dengan lebih progresif agar Malaysia bergerak kehadapan dengan lebih cepat dalam proses pemulihan ekonomi ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN