AEON perkasa rantaian bekalan PMKS  - Utusan Malaysia

AEON perkasa rantaian bekalan PMKS 

Pengerusi AEON CO. (M) Berhad, Datuk Iskandar Sarudin (dua dari kanan) dan Shafie (tiga dari kiri) memotong kek ulang tahun ke-37 bersama barisan pengurusan tinggi AEON. - Ihsan AEON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Group Malaysia (AEON) meneruskan usaha membantu serta menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana PMKS menerusi inisiatif Lebarkan Sayap Bersama AEON, sempena majlis ulang tahunnya yang ke-37.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafiq Shamsuddin berkata, pemerkasaan ekosistem rantai bekalan adalah fokus utama kumpulan bagi membolehkan lebih banyak PMKS mendapat keuntungan dan pada masa yang sama mempelbagaikan tawaran produk AEON.

“Bagi merealisasikan usaha itu, AEON merangka pelbagai inisiatif sokongan seperti AEON prihatin, iaitu program pembangunan dan sokongan komuniti yang dijalankan dengan menawarkan platform perniagaan kepada PMKS untuk mengembangkan perniagaan bersama.

“Seterusnya, myAEON2go yang merupakan platform penghantaran barangan dalam talian. Selain itu, AEON Kredit Service (M) Bhd, turut memberikan pembiayaan bantuan kewangan kepada PMKS, perancangan AEON untuk mendapatkan lesen bank digital yang akan membantu mengukuhkan ekosistem tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Majlis sambutan ulang tahun yang ke-37 AEON di Malaysia itu telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas mengenai ulang tahun tersebut, Shafie berkata, sejak mula beroperasi pada September 1984, AEOn kini terus berkembang pesat dan beroperasi menerusi lapan organisasi iaitu AEON CO. (M) BHD., AEON BiG (M) Sdn. Bhd., AEON Credit Service (M) Berhad, AEON Delight Sdn. Bhd., AEON Fantasy (M) Sdn. Bhd., AEON TopValu (M) Sdn. Bhd., AEON Global Supply Chain Sdn. Bhd. dan Yayasan AEON Malaysia.

“Aeon kini disokong oleh kira-kira 17,000 pekerja, 4,000 penyewa dan rakan niaga, serta lebih daripada dua juta pemegang kad AEON Member Plus.

“Kami amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyambut ulang tahun ke-37 ini. Pelbagai cabaran kami tempuhi namun AEON terus berkembang melalui hasil usaha inovatif disertai semangat dan iltizam yang tinggi hasil sokongan warga kerja juga ekosistem kami.

“Kami juga bersyukur kerana AEON telah diberikan sayap untuk melebarkan operasinya semenjak 37 tahun yang lalu oleh kerajaan Malaysia. Hasilnya kini dapat dinikmati oleh semua pemegang taruh di dalam ekosistem AEON,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun itu, AEON memperkenalkan Kempen 10.10 dari 8 hingga 17 Oktober 2021 melalui aplikasi myAEON2go bermula jam 10 pagi hingga 8 malam dengan menawarkan diskaun sehingga 10 peratus.

Pelanggan AEON juga berpeluang menyertai peraduan ‘Teka & Menang’ dengan mengira sayap yang tertera di lukisan Wan Jamila atau Artjamila dan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM37,000.

AEON mula bertapak di Malaysia pada September 1984 dengan penubuhan Jaya Jusco Stores Sdn Bhd (Jaya Jusco), seiring denngan langkah kerajaan membantu memodenkan industri peruncitan negara dengan menggunakan kepakaran pengurusan peruncitan termaju di Asia.

Cawangan pertama dibuka pada 1985 bertempat di Bangunan Dayabumi, Kuala Lumpur.

Beribu pejabat di Jepun dengan nama Japan United Stores Company (JUSCO), Jaya Jusco kemudiannya dikenali sebagai AEON Co (M) Bhd pada 2004. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya