SINTOK: Seramai 800 pelajar pelajar baharu dan lama Universiti Utara Malaysia (UUM) dijangka memenuhi inapan-inapan siswa (Inasis) di gedung ilmu tersebut pada hari pertama mereka dibenarkan kembali ke kampus hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, secara keseluruhannya, lebih 3,000 pelajar dijangka kembali ke kampus secara berperingkat dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.
Katanya, proses kemasukan ke kampus itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pendaftaran hari pertama pada hari ini melibatkan pelajar darii negeri utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang diikuti negeri-negeri tengah dan selatan, esok.
“Lusa pula, kita akan menerima kedatangan dari negeri-negeri di pantai timur. Bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak serta luar negara, kita beri tempoh hingga hujung bulan ini untuk mereka berbuat demikian.
“Kesemua pelajar ini akan terlebih dulu menjalani ujian pengesanan Covid-19 di Pusat Islam UUM dan jika negatif, barulah mereka dibenarkan bergerak ke Inasis masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses kemasukan mahasiswa tersebut bermula d proses ujian pengesanan Covid-19 hinggalah ke inapan siswa masing-masing di kampus tersebut, hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali, Pengarah Unit Pengurusan Risiko UUM, Shahrul Nizam Ahmad serta Pengarah Korporat Komunikasi universiti itu, Mohd. Fairus Abdul Majid.
Sementara itu seorang mahasiswi, Nur Alia Natasha Zakaria, 21, memaklumkan, ini kali pertama dia menginap di kampus walaupun sudah berada di semester ketiga dalam bidang pengajian Ijazah Operasi di UUM.
Katanya, sebelum ini dia menangguhkan kemasukan ke asrama universiti itu kerana bimbang dengan situasi semasa Covid-19 yang melanda seluruh negara.
“Namun kini keadaan tampak kian pulih malah saya bersama rakan-rakan juga yakin dengan tahap keselamatan di UUM. Disebabkan itu kami mengambil peluang ini untuk merasai pengalaman tinggal di kampus.
“Lagi pun jaringan internet di rumah saya di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat, Perlis agak teruk hingga beberapa kali terputus sewaktu mengikuti kelas secara dalam talian.
“Jika tinggal di kampus, capaian internet di sini lebih baik walaupun mungkin perlu menjalani kelas dalam talian,” katanya. -UTUSAN ONLINE