62kg ganja dirampas, tiga individu termasuk dua wanita ditahan - Utusan Malaysia

62kg ganja dirampas, tiga individu termasuk dua wanita ditahan

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di kawasan Lahat dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita dan merampas 62 kilogram dadah jenis ganja serta 1,400 biji pil kuda dalam serbuan di dua lokasi di kawasan Lahat di sini, kelmarin.

 

Lelaki warga India berusia 42 tahun bersama dua wanita termasuk seorang warga Indonesia masing-masing berusia 21 dan 26 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan pertama pada pukul 5 petang di sebuah rumah kedai di Bandar Lahat Mines itu membabitkan suspek warga India dan polis menjumpai 62 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja.

 

Katanya, dadah seberat 62kg itu dianggarkan bernilai RM248,000.

 

“Susulan tangkapan tersebut, kita telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Lahat dan menahan dua wanita.

 

“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 1,400 biji pil yaba dengan anggaran berat 161 gram dan ganja seberat 2.05 gram. Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM276,102.50,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

 

Menurut Mior Farid, siasatan mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negeri utara dan disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan.

 

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan untuk kegunaan 151,400 penagih dadah.

 

“Semakan mendapati, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif dadah.

 

“Siasatan mendapati, kumpulan itu aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu. Kita juga percaya ketiga-tiga individu itu merupakan ahli kepada sindiket pengedaran dadah,” katanya.

 

Menurutnya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah lori, kereta jenis Proton Waja, dua motosikal dan barang kemas bernilai RM86,663,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya