PUTRAJAYA: Tempat kerja dan komuniti masing-masing merekodkan lima kluster daripada 11 kluster Covid-19 hari ini dengan satu kumpulan berisiko tinggi manakala Kelantan, penyumbang terbanyak iaitu enam kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempat kerja melibatkan tiga kluster di Johor manakala Kelantan dan Selangor, masing-masing satu kluster.
“Kluster komuniti pula, Kelantan merekodkan empat kluster dan satu di Negeri Sembilan manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi juga dicatatkan di Kelantan. Sebanyak 144 kes direkodkan daripada ketiga-tiga kategori kluster itu.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 932 kluster manakala 4,615 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 9,380 kes berbanding semalam, 8,817 kes sekali gus terus diatasi 13,045 kes sembuh manakala 851 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 447 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, empat negeri mencatatkan kes melebihi 1,000 iaitu Sarawak dengan kekal menjadi penyumbang terbanyak iaitu 1,530 kes; Selangor (1,116), Kelantan (1,170) dan Johor (1,105).
“Sembilan negeri merekodkan kes hanya tiga angka iaitu Sabah (790), Pahang (511), Pulau Pinang (623), Kedah (556), Perak (629), Terengganu (704), Melaka (200), Kuala Lumpur (214) dan Negeri Sembilan (191).
“Perlis pula mencatatkan 42 kes dan Putrajaya, 18 kes dan Labuan hanya lapan kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku peningkatan sebanyak 117 kes berbanding kelmarin, 76 kes.
Rekod terbabit adalah setakat jam 7 petang, hari ini yang berdasarkan maklumat dikemaskini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my,
Jumlah kematian itu menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,876 kes.
Sebanyak 16 daripada 117 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,382 kes. -UTUSAN ONLINE










