14 penyenaraian dalam 6 bulan - Utusan Malaysia

14 penyenaraian dalam 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam tempoh enam bulan pertama 2021, Malaysia mencatatkan sebanyak 14 penyenaraian dengan dua daripadanya di Pasaran Utama, tujuh di Pasaran ACE dan lima di Pasaran LEAP.

Ketua IPO Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon berkata, penyenaraian itu mengumpulkan kira-kira RM395 juta dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.5 bilion.

“Ini suatu pencapaian memberangsangkan berbanding hanya tujuh penyenaraian pada 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, menurut Kar Choon, Malaysia mungkin menyaksikan minat diperbaharui dalam penyenaraian Syarikat Pemilikan Tujuan Khas (SPAC) untuk pasaran modal pada masa hadapan.

Kata beliau, ini kerana SPAC dilihat sebagai alternatif yang lebih pantas dalam pengumpulan modal berbanding tawaran awam permulaan (IPO) tradisional.

“Tidak dinafikan ada perniagaan tertentu berkembang dan berjaya dalam keadaan pandemik yang mencabar ini. Untuk merebut peluang, syarikat baharu berasaskan teknologi juga mencari pelbagai jenis pengumpulan dana dan sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan desas-desus mengenai SPAC.

“Terdapat juga pengumuman yang dibuat mengenai sejumlah syarikat pemula berasaskan teknologi SEA meninjau peluang penggabungan  SPAC di pasaran modal Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Kar Choon memaklumkan, berdasarkan data Spacktrack.net, dana amanah SPAC semasa di AS yang masih mencari penggabungan perniagaan yang berdaya maju adalah sekitar AS$114 bilion. 

Tegasnya, dengan keadaan negara di peringkat pemulihan, beliau optimis negara bakal mempertingkat pasaran modal di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Kelancaran program vaksinasi negara dan dunia akan mendorong pemulihan ekonomi global, sekali gus memanfaatkan pasaran modal. Syarikat yang tidak terjejas pula akan terus meningkatkan prestasinya selain menerima sokongan berterusan dari pelabur runcit. 

“Walaupun jumlah dagangan kebanyakannya telah menurun berbanding tahun lalu, purata jumlah dagangan harian (ADTV) diharap meningkat menjelang akhir tahun ini seiring kadar vaksinasi yang hampir lengkap membolehkan sempadan negara dan perniagaan dibuka semula,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN