111 kes minyak masak mahal - Utusan Malaysia

111 kes minyak masak mahal

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengesan sebanyak 111 kes minyak masak dalam botol yang dijual melebihi harga kawalan sejak 1 Ogos lalu. 

 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 44 kes diikuti Perak (23 kes), Pulau Pinang (sembilan kes) dan masing-masing enam kes bagi Kelantan, Terengganu, Sarawak serta Melaka. 

 

Katanya, empat kes pula di Pahang, Negeri Sembilan (tiga kes), Sabah (dua kes) dan masing-masing satu kes di Kedah serta Selangor. 

 

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 19,266 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara susulan pelaksanaan harga runcit maksimum minyak masak dalam botol dengan membabitkan nilai sitaan berjumlah RM13,961.50 dan kompaun RM26,850,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek penternakan kelulut di Kampung Machang, Ajil di sini hari ini. 

 

Harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak dalam botol ketika ini ialah RM29.70 untuk 5 kilogram, RM18.70 (3 kilogram), RM12.70 (2 kilogram) dan RM6.70 (1 kilogram).

 

Dalam pada itu, Rosol berkata, setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai dakwaan ketiadaan minyak masak peket yang berharga RM2.50 di Terengganu. 

 

Katanya, pemeriksaan harian oleh pegawai penguat kuasa dan pemantau harga mendapati bekalan barangan itu stabil serta mencukupi di seluruh negara.

 

“Mungkin ada salah faham dan kita akan menyiasat serta mencari punca ketiadaan stok seperti yang didakwa di media sosial kerana barangan berkenaan turut dibeli golongan peniaga. 

 

“Jadi, langkah sementara ialah peniaga boleh mengehadkan pembelian minyak peket ini mungkin seorang beli dua atau tiga peket sahaja sementara kementerian menyiasat puncanya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya