ARAU: Pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi sejak hampir dua tahun lalu memberi kesan cukup mendalam dengan ramai yang hilang kerja dan sumber pendapatan.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2022 Oktober ini, kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melibatkan pelbagai sektor.
Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, pengambilan pekerja melibatkan pelbagai sektor itu perlu diperluaskan tanpa mengenakan syarat yang terlalu ketat.
Beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS) berkata, langkah tersebut penting bagai menampung keperluan ribuan atau lebih mereka yang hilang pekerjaan sepanjang tempoh pandemik.
Selain itu, katanya, peluang pekerjaan atau bantuan di kawasan luar bandar juga perlu dititik beratkan memandangkan semua lapisan masyarakat tidak terkecuali menerima kesan pandemik Covid-19.
“Belanjawan 2022 dalam suasana kita sedang melalui proses pemulihan (Covid-19, ekonomi) peluang pekerjaan antara aspek paling penting perlu diberikan keutamaan. Apabila rakyat mempunyai pekerjaan akan membantu mereka keluar daripada kesusahan khususnya dalam tempoh mencabar ini.
“Sektor swasta juga perlu memainkan peranan dalam membantu memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat yang terjejas tanpa perlu mengenakan syarat terlalu ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Kamarul Azman, dana tambahan dan peruntukkan boleh dipertimbang disalurkan di kawasan-kawasan luar bandar bagi membantu golongan terkesan.
Katanya, sekurang-kurangnya dengan modal tambahan itu dapat membantu mereka yang terkesan itu melakukan sesuatu dalam menjana semula pendapatan.
“Selain itu, agensi-agensi berkaitan boleh digerakkan seperti menyediakan bas atau van bergerak masuk ke kawasan-kawasan kampung membantu golongan memerlukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE