Warisan tetap tuntut pelaksanaan MA63 - Utusan Malaysia

Warisan tetap tuntut pelaksanaan MA63

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap menuntut kerajaan untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, bermula hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga ahli Parlimen Semporna berkata, hanya dengan melaksanakan segala yang termaktub di dalam perjanjian itu dapat mengubah keadaan negeri di Sabah menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek.

“Memang kita tekankan dari dahulu lagi mengenai pembentukan negara (di dalam MA63) adalah perkara yang harus diambil perhatian oleh kerajaan. Dari segi pembangunan di negara kita perlu diberi perhatian dan diselaraskan dengan sebaik mungkin.

“Selain itu, prasarana dan juga sistem perubatan kesihatan ketika pandemik Covid-19 adalah penting memandangkan Sabah adalah negeri yang paling ramai penduduknya meninggal dunia, ramai yang positif tetapi kemudahan bukan vaksin sahaja tidak cukup tetapi bahkan prasarana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Senada dengan beliau, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, parti itu berpegang kepada janji yang pernah ditabur oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa MA63 akan dilaksana sepenuhnya jika UMNO kembali mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Sepanggar itu mendakwa, Ahmad Zahid pernah bersumpah semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis pada Januari tahun lalu yang MA63 akan ditunaikan tanpa terlewat walau sehari.

“Sekarang UMNO sudah kembali ke Putrajaya dan janjinya wajar ditunaikan. Selain itu, suka atau pun tidak, dari aspek pembangunan dan pendidikan isu ini kami sentiasa bangkitkan.

“Sebab Sabah antara negeri ketinggalan dalam pelbagai sudut. Malah, pembukaan sekolah yang dijadualkan bulan depan apa rasionalnya? Adakah vaksinasi pelajar dan guru sudah lengkap dan boleh dijamin selesai dalam tempoh ini?” soalnya.

Dalam pada itu, Mohd. Azis juga akan menyentuh mengenai usul undi percaya terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana meragui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya tiada usul undi percaya dikemukakan di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan Ismail Sabri.

“Bukanlah saya menidakkan kuasa Seri Paduka tetapi apa yang kami sebutkan adalah Seri Paduka sendiri yang mengeluarkan kenyataan untuk menjalankan usul undi percaya perdana menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×