Warisan mahu peruntukan sama rata - Utusan Malaysia

Warisan mahu peruntukan sama rata

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mahu kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan cadangan pemberian peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sekiranya kerajaan meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan, tawaran yang diberikan oleh Tan Sri Muhyddin Yassin sebelum ini berkaitan peruntukan sama rata wajar diteruskan.

Pengagihan dana sama rata ini akan membuktikan Ismail Sabri tidak mahu terus berpolitik sebaliknya, ingin sama-sama berusaha menangani pandemik Covid-19.

“Jangan ulangi kesilapan Muhyiddin. Semasa kita (pembangkang) mencadangkan agar perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) diwujudkan dalam belanjawan tahun lalu, beliau menolak cadangan itu. Apabila dia sudah kehilangan majoriti, barulah CSA mahu dilaksanakan,” katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar ini berkata, langkah itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan memberi fokus bagi membantu rakyat yang terkesan semasa pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau bersetuju berkaitan cadangan mengehadkan lantikan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Mengulas lanjut, Mohd. Azis berkata, tawaran yang diberikan Perdana Menteri bagi melakukan transformasi Parlimen ini sebenarnya sama seperti tawaran Muhyiddin sebelum ini semasa beliau sudah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Kini Ismail Sabri membuat tawaran yang sama dan kita memandang positif transformasi yang ingin dilakukan.

“Bagaimanapun, dalam konteks Sabah, kami mendesak Perdana Menteri untuk menyelesaikan empat tuntutan yang masih berbaki daripada 21 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 17 perkara telah direalisasikan dan masih ada empat lagi belum selesai.

“Secara prinsipnya, Kabinet pada masa itu telah bersetuju dan hanya perlu menyelesaikan pertindihan kuasa antara negeri dan persekutuan.

“Namun, belum sempat penyelarasan dilakukan, PH tumbang dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan. Ia mengakibatkan empat tuntutan dalam MA63 tergendala,” katanya.

Mohd. Azis berkata, selaras dengan janji Presiden UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjanji sekiranya UMNO kembali ke Putrajaya, MA63 akan dilaksanakan 100 peratus tanpa ditangguh walau sehari.

“Hari ini UMNO telah kembali ke Putrajaya dan janji itu wajar ditunaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN