fbpx

23 September 2021, 7:36 am

  TERKINI

Warga emas terima layanan baik oleh JPJ sebelum ditemukan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan warga emas yang didapati meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor telah diberi layanan baik oleh mereka sebelum  itu.

 

JPJ dalam satu kenyataan memberitahu, sebelum kejadian, lelaki berusia 76 tahun itu telah telah diberikan layanan khas sebagai warga emas untuk berurusan dengan Pejabat JPJ berkenaan.

 

Kata kenyataan itu, lelaki itu melakukan urusannya tanpa perlu beratur dan telah dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urusniaga.

 

“Mangsa juga telah diambil suhu badan dan didapati normal serta telah menunjukkan status MySejahtera lengkap menerima dua dos vaksin.

 

“Bagaimanapun, semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan dengan tiba-tiba telah tidak sedarkan diri dan panggilan kecemasan (MERS 999) telah dibuat oleh Ketua Bahagian Pengurusan JPJ Cawangan Bangi,” jelas kenyataan itu.

 

Mengulas lebih lanjut, kenyataan itu memberitahu, susulan itu, sebuah ambulans bersama pasukan paramedik telah tiba bagi tujuan memeriksa keadaan mangsa sebelum mendapati dia telah meninggal dunia.

 

“Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

 

“Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan juga telah mengklasifikasikan kejadian ini sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” kata kenyataan itu.

 

Tambah kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian yang berlaku ini dan menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Hospital Kajang.-UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI