Wanita Indonesia jadi buruh paksa diselamatkan - Utusan Malaysia

Wanita Indonesia jadi buruh paksa diselamatkan

OPERASI menyelamat seorang wanita warga Indonesia yang menjadi buruh paksa di Ayer Tawar, Perak pada Khamis lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Seorang pekerja warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa buruh paksa di Ayer Tawar dekat sini, diselamatkan dalam operasi bersepadu kelmarin.

 

Dalam operasi kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa seorang wanita didapati tinggal dan bekerja di satu kawasan terpencil dekat situ, yang jauh dari kediaman lain.

 

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya berkata, operasi dilakukan selepas mendapat aduan dan maklumat daripada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur pada 20 September lalu. 

 

Berikutan itu, risikan telah dijalankan pada 20 hingga 21 September sebelum operasi menyelamat dilakukan pada 23 September diketuai oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ibu pejabat dan JTK Perak dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung. 

 

Menurut kenyataan itu, mangsa mengesahkan masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen yang dikenalinya. 

 

Jelas kenyataan itu,  selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa RM350 sebulan telah dipotong selama empat bulan sebagai kos bayaran kepada ejen tersebut. 

 

“Namun, mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada ejen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajiannya termasuklah bayaran kepada ejen tersebut.

 

“Siasatan awal jelas menunjukkan mangsa yang telah tamat tempoh sah permit pada Jun 2020 diklasifikasikan sebagai buruh paksa dengan wujudnya beberapa indikator yang digunakan dalam mengenal pasti seseorang pekerja itu adalah buruh paksa atau bukan.

 

“Indikator tersebut antaranya termasuklah gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 dan berjumlah lebih kurang RM25,000,” kata kenyataan itu.

 

Kenyataan itu memberitahu, majikan yang juga suspek mengeksploitasi mangsa dengan ugutan dia bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal. 

 

Malah, kata kenyataan itu, mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak.

 

“Kesemua situasi yang dihadapi oleh mangsa merupakan indikator kukuh yang menunjukkan bahawa majikannya telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. 

 

“Mangsa yang diselamatkan masih dalam trauma dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara, Kuala Lumpur, selepas mangsa diberikan Arahan Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pada tarikh sama beliau diselamatkan.

 

“IPO tersebut adalah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 13 Oktober ini bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK, dan seterusnya akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN