Vaksinasi ‘walk-in’ di Lembah Klang dihentikan 16 September - Utusan Malaysia

Vaksinasi ‘walk-in’ di Lembah Klang dihentikan 16 September

ADHAM Baba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bakal menamatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di Lembah Klang bermula 16 September ini.

 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia susulan trend penurunan vaksinasi ketika ini disebabkan sebahagian besar penduduknya sudah diimunisasi.

 “Saya ingin mengumumkan bahawa program vaksinasi secara ‘walk-in’ di Lembah Klang akan dihentikan terus selepas 15 September ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

 Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas secara rasmi dengan penyandang sebelumnya, Khairy Jamaluddin yang sudah bertukar portfolio sebagai Menteri Kesihatan baharu.

 PICK dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu dengan sejumlah 672 buah Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) diwujudkan di seluruh negara.

 Setakat lewat tengah malam semalam, Lembah Klang merekodkan 69.6 peratus populasi dewasa yang sudah pun lengkap dua dos manakala 88.9 peratus lagi sudah menerima satu dos.

 Mengulas lanjut, Adham berkata, pihaknya mengambil kira faktor kadar penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksin adalah amat kecil dengan kadar kehadiran rendah di PPV.

 “Ini bermakna mulai 16 September, mereka yang belum diimunisasi, boleh dapat suntikan dos pertama di klinik kesihatan tertentu dengan senarai itu akan diumumkan kelak,” tambahnya.

 Bagaimanapun ujarnya, ‘walk-in’ di negeri-negeri lain masih lagi diteruskan dan orang ramai dinasihatkan mengikuti pengumuman dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.  

 Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan kadar vaksinasi semakin menurun dalam beberapa minggu akan datang yang merupakan petanda baik dan menunjukkan ramai sudah divaksin.

 Malah, katanya, jumlah peratusan populasi dewasa yang telah lengkap diimunisasi di Malaysia ketika ini adalah hampir 70 peratus iaitu melepasi sasaran 60 peratus yang ditetapkan.

 Ia juga tegas Adham, membuktikan usaha PICK mencapai 80 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksinasi bagi setiap negeri sebenarnya mampu dicapai dalam masa singkat.

 “Alhamdulillah, Malaysia di landasan betul bahkan pada 2 September lalu, kita capai kadar membanggakan melepasi Amerika Syarikat untuk sekurang-kurangnya satu dos,” katanya.

 Sementara itu, beliau mengesahkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah pun menerima data vaksinasi bagi semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

 Rekod dari Kementerian Pengajian Tinggi itu katanya, menunjukkan setakat 7 September lalu seramai 547,595 pelajar IPT awam dan swasta seluruh negara sudah lengkap dua dos vaksin.

 Angka ini mewakili 53.2 peratus tetapi semakan kementerian itu juga mendapati lebih 195,000 atau 37.5 peratus pelajar IPT awam langsung tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi.  

 Jumlah tersebut tambah Adham, adalah lebih tinggi berbanding data pelajar IPT swasta pula yang tiada rekod pendaftaran imunisasi iaitu lebih 51,000 atau 10.2 peratus sahaja setakat ini.

 “Saya berharap agar usaha CITF dan pihak kementerian tersebut akan memberi kesedaran berhubung kepentingan vaksinasi yang perlu dipertingkatkan dalam masa terdekat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya