PETALING JAYA : Kajian beberapa negara menunjukan pemberian vaksin untuk kanak-kanak di atas umur 12 tahun adalah selamat sekali gus secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko daripada virus Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, oleh itu kerajaan perlu menyegerakan suntikan vaksin kepada kanak-kanak memandangkan kumpulan itu kini dilihat berisiko tinggi termasuk melibatkan kematian jika dijangkiti Covid-19.
“Beberapa negara telah pun melakukan suntikan vaksin kepada kanak-kanak seawal usia 12 tahun, maka sudah masanya kita memberikannya kepada kumpulan ini.
“Memandangkan wabak Covid-19 semakin serius yang bukan sahaja melibatkan kumpulan dewasa, tetapi juga kanak-kanak jadi sudah tiba masanya kerajaan menekankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membabitkan golongan ini dengan segera,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kira-kira 298,363 kanak-kanak dan remaja dijangkiti wabak Covid-19 sejak pandemik melanda negara bermula Januari tahun lalu.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kanak-kanak kini terdedah kepada risiko penularan Covid-19 kerana mereka sering dilihat tidak bergejala apatah lagi mereka belum menerima suntikan vaksin.
Justeru katanya, beliau meminta ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak-anak masing-masing dan tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19 dan
menyebarkan virus itu dengan senyap.
Beliau menjelaskan, pembukaan sekolah dilihat boleh mendatangkan risiko kepada murid dan pelajar memandangkan mereka belum menerima suntikan vaksin. – UTUSAN ONLINE










