Usaha SEARCCT basmi keganasan ekstrem, radikalisasi - Utusan Malaysia

Usaha SEARCCT basmi keganasan ekstrem, radikalisasi

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) meneruskan usaha dan membangunkan strategi sebagai pusat rujukan di rantau ini dengan mengukuhkan rangkaian bersama badan serantau dan antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hal itu termasuk menerapkan pendekatan bersama pelbagai pemegang taruh untuk memanfaatkan kekuatan dengan pihak terlibat dalam menangani keganasan.

Katanya, salah satu inisiatif itu melalui kempen dinamakan Panggilan Christchurch atau Christchurch Call di bawah program SEARCCT dengan kerjasama kerajaan New Zealand.

“Inisiatif baharu ini untuk melihat bagaimana di bawah program ini, pendekatan pelbagai pihak berkepentingan yang mewujudkan perkongsian swasta dan masyarakat awam dapat berfungsi untuk mencegah penggunaan internet oleh pengganas dan menjadikan ruang dalam talian selamat untuk masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sidang media secara dalam talian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beberapa program lain yang sudah selesai atau masih dijadualkan tahun ini termasuk portal media Membasmi Keganasan Ekstrem (CVE) yang merupakan projek kerjasama Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) dan Malaysian Press Institute (MPI) yang telah selesai Januari lalu.

Selain itu, katanya, SEARCCT juga menganjurkan bengkel penceritaan berkesan oleh belia atau Bestnyer untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap ekstrimisme dan radikalisasi yang dilaksanakan pada April lalu.

Antara lain, pihaknya turut merancang program Pembangunan Berkesan dan Berasaskan Bukti bagi Meningkatkan Ketahanan (Deeper) untuk meningkatkan kesedaran mencegah keganasan serta menyediakan rancangan kemahiran teknikal dan organisasi yang dijadualkan bermula September ini.

Katanya lagi, SEARCCT menyediakan garis panduan kepada pengamal media dan wartawan Malaysia untuk meningkatkan kapasiti dan peranan mereka dalam melaporkan isu-isu melibatkan pencegahan keganasan ekstrem di negara ini.

“SEARCCT juga menganjurkan program Pendekatan Gender Ke Arah Menjangkaui Radikalisasi (Gator) pada Mac lalu untuk memahami dinamik gender dalam keganasan ekstrem di samping mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat khususnya wanita.

“Selain itu, program Inisiatif Peringatan Awal (EWER) turut diadakan yang merangkumi bengkel secara maya bersiri untuk mempromosi pengesanan awal terhadap tanda amaran yang cenderung ke arah keganasan radikalisasi dan intervensi awal di peringkat komuniti untuk mencegah keganasan ekstrem,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN