TUDM bakal ganti pesawat C-130 Hercules - Utusan Malaysia

TUDM bakal ganti pesawat C-130 Hercules

MODEL C-130 Hercules mampu beroperasi lagi sehingga tahun 2040 menerusi program naik taraf keupayaan pesawat pengangkut taktikal TUDM. – Ihsan TUDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pesawat pengangkut C-130 Hercules yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak sekian lama bakal digantikan dengan model sama tetapi versi baharu.

Antara calon terkuat dijangka mengambil alih khidmat pengangkut taktikal itu ialah C-130J Super Hercules dikeluarkan oleh firma sedia ada, Lockheed Martin di Amerika Syarikat (AS).

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, ini berikutan secara kebetulan sebahagian besar alat komponen dan gantinya itu adalah serupa dengan C-130 Hercules.

“Bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk memuktamadkan jenis pesawat pada ketika ini,” katanya kepada sebuah majalah pertahanan antarabangsa menerusi keluaran terbaharunya.

TUDM antara yang pasukan paling awal di dunia yang memiliki pesawat C-130 Hercules selepas negara mencapai kemerdekaan dan kini ada 2,500 buah beroperasi di lebih 50 negara.

Sepuluh buah pesawat tersebut digunakan TUDM, yang masing-masing ditempatkan di Skuadron 20, Pangkalan Udara Subang, Selangor serta Skuadron 14, Pangkalan Udara Labuan.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan penggantian platform mobiliti udara dijadualkan dapat dibuat Kementerian Pertahanan ketika Rancangan Malaysia Ke-16 pada 2041 hingga 2045.

Justeru ujar beliau, program naik taraf avionik akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keupayaan C-130 Hercules supaya pesawat itu mampu beroperasi sehingga tahun 2040.

“Buat masa ini, pihak TUDM sedang berusaha demi memastikan semua pesawat pengangkut masih lagi sentiasa relevan dan terkini dengan keperluan serta taktik semasa,” jelas Ackbal.

Versi baharu itu sudah mula dikeluarkan pada 1996 lalu, malah pada waktu ini, sejumlah 450 buah pesawat berkenaan telah pun digunakan di 22 negara dengan 14 varian yang berbeza.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan empat buah pesawat pengangkut dan penangki minyak di udara, Airbus A400M, akan boleh melaksanakan operasi pengisian minyak ketika terbang.

Siri latihan melibatkan 18 buah jet tempur Sukhoi Su-30MKM di Laut China Selatan sebelum ini telah membuktikan keupayaan sebenar pesawat keluaran Airbus Defense and Space itu.

Malaysia merupakan negara pertama di Asia memiliki pesawat itu pada 2015 lalu yang ketika ini hanya digunakan lapan negara dengan sejumlah 176 buah beroperasi di seluruh dunia.

 “Kita jangka apabila selesai program naik taraf di fasiliti Airbus di Seville, Sepanyol, pesawat ini akan boleh melakukan pengisian di udara secara optimum bermula tahun depan,” katanya.

Sehubungan itu ujar Ackbal, operasi pesawat pejuang TUDM dapat terbang lebih jauh dalam tempoh masa lebih lama di udara, selain A400M berkemampuan mengisi muatan saiz besar. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya