Tiada tarik sokongan kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar - Utusan Malaysia

Tiada tarik sokongan kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar

AMINUDDIN Harun ketika Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang berlangsung hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada sebarang surat menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diterima daripada mana-mana Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Negeri Sembilan.

Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkefly Mohamad Omar dalam Persidangan DUN Negeri Sembilan hari ini.

Beliau mengesahkan perkara itu selepas ditanya oleh Loke Siew Fook (PH-Chennah) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.

Sementara itu, Siew Fook yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memaklumkan, pengesahan oleh Zulkefly Mohamad itu adalah penting kerana ia sekali gus menunjukkan Aminuddin yang juga ADUN Sikamat masih mempunyai sokongan majoriti dalam DUN untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

“Saya mahu jawapan itu sahaja, kerana jawapan itu memberi satu mesej yang kuat dan jelas kepada seluruh rakyat bahawa kedudukan Sikamat jelas, beliau masih ada majoriti dan sokongan dalam DUN yang mulia ini untuk terus menerajui kerajaan Negeri Sembilan.

“Pergolakan dalam parti itu perkara biasa, parti nak buat mcm mana, terpulang, kalau parti nak tukar kedudukan Sikamat sebagai pengerusi pun itu adalah hal dalaman parti kerana kedudukan parti tidak menjejaskan kedudukan dalam kerajaan,” kata beliau lagi.

Menurut Siew Fook, selagi Aminuddin mempunyai sokongan majoriti ADUN, kedudukannya sebagai Menteri Besar juga tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Saya ajak seluruh barisan ADUN kerajaan untuk bersama-sama mendukung dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Sikamat untuk menerajui kerajaan Negeri Sembilan sehingga akhir tempoh,” katanya.

Sejak semalam tersebar kenyataan media didakwa daripada Penerangan PKR Negeri Sembilan yang menyatakan hilang kepercayaan kepada Aminuddin di atas beberapa sebab dan rombakan perlu dilakukan terhadap pengurusan MPN Negeri Sembilan.

Berdasarkan laporan yang memetik Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dakwa beliau, Aminuddin selaku Pengerusi MPN negeri tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan DUN yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

“Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

“Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN