Tiada pembayaran untuk projek terowong dasar laut  - Utusan Malaysia

Tiada pembayaran untuk projek terowong dasar laut 

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah membuat sebarang bayaran bagi rancangan projek terowong dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh kerajaan negeri. 

 

Sebaliknya, jelas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, bayaran sebanyak RM208 juta yang telah dibuat melalui kaedah pertukaran tanah (exchange land) kepada kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci untuk tiga projek lebuh raya sahaja.

 

Jelasnya, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi projek tiga lebuh raya dan terowong bawah dasar laut pula adalah berjumlah RM305 juta. 

 

“Walaupun sudah banyak kali penjelasan diberikan oleh kerajaan negeri mengenai perincian projek dasar laut yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka pada 2012, namun masih lagi berlaku banyak penyelewengan fakta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak supaya kerajaan negeri menjelaskan mengenai status pemberian tanah kepada konsortium projek dasar laut sebagai bayaran untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut. 

 

Desakan itu berikutan wujud dakwaan projek terowong dasar laut berkenaan mungkin tidak akan diteruskan dan digantikan dengan pembinaan jambatan ketiga sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tanah yang diserahkan terbabit yang kini sudah dibangunkan dengan kediaman. 

 

Dalam pada itu Kon Yeow menjelaskan, kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut ketika ini telah siap dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal termasuk agensi-agensi Persekutuan diterima.

 

Berkenaan cadangan menggantikan terowong bawah dasar laut dengan jambatan pula jelasnya, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk terowong bawah dasar laut sahaja, bukannya untuk jambatan.

 

“Walaupun Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga, namun ia belum lagi dipertimbangkan. 

 

“Sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN