Tanah adat terbiar kini jadi estet ikan - Utusan Malaysia

Tanah adat terbiar kini jadi estet ikan

TANAH adat yang dahulunya terbiar kini dibangunkan menjadi Projek Estet Ikan MyKP Kampung Sungai Jerneh dan menjadi tarikan penduduk setempat serta luar daerah.-MINGGUAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tanah adat terbiar di Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh di sini berjaya dibangunkan sebagai lokasi tarikan pengunjung menerusi Projek Estet Ikan My Komuniti Perikanan (MyKP).

Pengerusi MyKP Kampung Sungai Jerneh, Suhaimizan Bizar berkata, sejak empat tahun lalu, lokasi tersebut telah diusahakan oleh seorang penduduk, Shamsudin Adam, 57, bagi ternakan pelbagai jenis ikan.

Jelasnya, kini pihaknya diberikan peluang untuk menguruskan lokasi tersebut yang mempunyai lebih 40,000 ikan pelbagai jenis seperti tilapia, jelawat, lampam, baung dan temoleh.

Menurutnya lagi, projek itu memberi banyak manfaat kepada MyKP Kampung Sungai Jerneh terutama kepada golongan belia kampung.

Di lokasi itu ujarnya, pelbagai aktiviti berbayar dengan kadar serendah RM5 dapat dijalankan antaranya aktiviti memberi makan ikan, berkayak dan menaiki bot.

“Terdapat tujuh kolam di atas tanah seluas satu hektar ini. Satu daripadanya dibangunkan bagi projek Estet myKP, satu lagi untuk kolam mengoca kanak-kanak yang berisi ikan tidak berbahaya dan selebihnya akan dibangunkan bagi kolam pelbagai jenis ikan serta udang.

“Sejak dibuka seminggu lalu, bukan hanya penduduk di sini sahaja yang datang tetapi juga ada keluarga yang datang dari Port Dickson, Nilai dan Seremban untuk mencuba pelbagai aktiviti di sini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, kira-kira RM50,000 bantuan Dana Jaminan Makanan (DJM) telah disalurkan kepada Projek Estet Ikan myKP Kampung Sungai Jerneh, Gemenceh.

Menurutnya, bantuan DJM berkenaan adalah berbentuk peralatan, menaiktaraf infra, makanan ikan dan benih.

“Ini termasuklah bantuan input yang meliputi naik taraf infrastruktur seperti pembersihan kawasan estet, pembinaan satu unit jeti dan gazebo, satu unit bot berserta enjin dan pendayung dan satu unit mesin pemotong rumput.

“Malah kita turut membuat pelepasan 2,000 ekor benih ikan tilapia dan 50 ekor benih ikan temoleh ke estet MyKP Sungai Jerneh.

“Kami komited menyokong dan membantu komuniti setempat dalam membangunkan industri akuakultur.

“Bantuan berkenaan juga secara tidak langsung dapat meringankan beban kos operasi yang ditanggung oleh penternak serta meningkatkan lagi pengeluaran akuakultur di negeri ini khasnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN