MELAKA: Taktik empat lelaki warga Bangladesh yang berhimpit kerana cuba bersembunyi di belakang pintu tandas bagi mengelak dicekup pihak berkuasa gagal, apabila kesemua mereka ditahan Jabatan Imigresen di Kota Laksamana di sini.
Mereka antara 125 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam serbuan bersepadu selama enam jam berakhir pukul 4 pagi tadi.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, kesemua PATI berusia 25 hingga 48 tahun itu ditangkap selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, hasil risikan, serbuan telah dijalankan di tiga lokasi berasingan masing-masing di sebuah pangsapuri di sekitar Kota Laksamana, tapak pembinaan sekitar daerah Alor Gajah dan asrama pekerja warga asing di Merlimau, Jasin.
“Ketika serbuan dilakukan di Kota Laksamana, empat daripada enam warga Bangladesh cuba meloloskan diri dengan menyorok di belakang pintu tandas, namun pihak berkuasa berjaya menghidu helah tersebut.
“Keenam-enam mereka berjaya dicekup dan dikesan melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, antara kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 6 (1) (c) kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal lebih masa.
Tambahnya, secara keseluruhan, seramai 424 warga asing telah diperiksa, namun hanya 125 yang ditahan.
“Mengikut pecahan di ketiga-tiga lokasi, kita telah menahan enam wanita dan 10 lelaki warga Indonesia, 41 lelaki Bangladesh, 60 Nepal dan lapan India.
“Kesemua tahanan akan dibawa ke pusat kesihatan daerah (PKD) bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum di hantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE