Suspek pandu lawan arus di Lebuhraya Persekutuan didakwa esok - Utusan Malaysia

Suspek pandu lawan arus di Lebuhraya Persekutuan didakwa esok

PEMANDU sebuah Mitsubishi Triton yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan dua remaja maut di KM 8.6 Lebuh Raya Persekutuan dibawa untuk ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk lanjutan reman dengan kes kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suspek lelaki yang memandu sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton sehingga mengakibatkan kematian remaja di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan di sini, pada 12 September lalu akan didakwa di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, suspek yang memandu dalam keadaan melawan arus itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kes terbabit sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek ditahan reman sehingga 17 September bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, kes terbabit diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan menyebabkan dia disambung tahanan reman selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan.

Pada 12 September lalu,  sepasang remaja maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pikap Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di lebuh raya tersebut.

Mangsa, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dan penumpang, Muhammad Hafiz Syami Dzul Asri, 19, mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan.

Pasukan bomba yang menerima panggilan pada pukul 1.51 pagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada bahagian depan kereta dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ujian air kencing terhadap suspek terbabit mendapati dia positif dadah jenis ganja.

Saksi yang merakam video kejadian turut tampil bagi membantu siasatan bersama dua rakannya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN