Staf PPV BACC berpakaian tradisi rai Hari Malaysia   - Utusan Malaysia

Staf PPV BACC berpakaian tradisi rai Hari Malaysia  

Sebahagian petugas PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) mengenakan pakaian tradisional sambil membawa Jalur Gemilang semasa menjalankan tugas sempena Sambutan Hari Malaysia ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini hari ini. -UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Sejumlah 280 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bangi Avenue Convention Centre ada cara unik tersendiri bagi meraikan sambutan Hari Malaysia ke-58 pada hari ini.

 

Meskipun bertugas pada hari cuti umum, mereka tampil bersemangat dengan ceria memakai baju kebangsaan atau pakaian tradisional bagi menyambut ribuan penerima vaksin Covid-19.

 

“Sebenarnya, ini juga cara kami mengubat kerinduan bekerja pada perayaan Hari Malaysia,” kata Pengurusnya, Dr. Mahani Pardan dalam sidang akhbar di bilik gerakan PPV itu di sini.

 

Turut hadir bagi memeriahkan sambutan tahunan itu ialah Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Ts. Dr. Siti A’iasah Hashim dan Ketua Penyelaras PPV BACC, Hasfazilah Hassan.

 

Pusat tersebut dibuka sejak 5 Julai lalu dengan kapasiti maksimum 5,000 penerima setiap hari dan satu-satunya PPV di negara ini dijadikan ‘anak angkat’ bagi Agensi Nuklear Malaysia.

 

Ketika peringkat awal, pusat berkenaan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk cuti umum namun pada ketika ini hanya dibuka dari 8 pagi sehingga 5 petang.

 

Mengulas lanjut, Mahani berkata, sambutan kali ini yang diadakan secara sederhana sempena meraikan serentak Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 pada tarikh sama.

 

“Selain kita bergembira kibar Jalur Gemilang, pihak sekretariat juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk petugas PPV dengan menawarkan hadiah menarik untuk pemenang,” katanya.

 

Mereka sebelum ini pernah berpakaian tradisi buat julung kali ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan Mei lalu dan juga Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas, malah, bersempena penutupan PPV itu pada 5 Oktober ini, Pertandingan Nostalgia turut diadakan bagi meraikan kejayaan mencapai sasaran imuniti berkelompok di Lembah Klang.

 

Dalam pada itu, Siti A’iashah mengesahkan PPV BACC membuka semula program imunisasi untuk penerima secara ‘walk-in’ atau jumpa terus yang masih belum lagi berbuat demikian.

 

Ia ditawarkan kembali setelah dua hari ditutup atas penilaian pihak CITF dan lokasi tersebut antara lima PPV di Lembah Klang yang membenarkan ‘walk-in’ sehingga 30 September ini.

 

Langkah itu juga bagi membolehkan para penuntut pelbagai institusi pengajian tinggi yang tidak menerima janji temu atau belum lagi mendaftar, boleh hadir menerima suntikan vaksin.

 

Ini ujar beliau termasuk kalangan remaja warga tempatan yang berusia bawah 18 tahun dan tinggal berhampiran sekitar PPV BACC turut boleh datang vaksinasi secara jumpa terus.  

 

“Sejumlah 1,000 dos disediakan dengan 120 daripadanya jenis Pfizer manakala selebihnya ialah Sinovac kerana kita jangka jumlah penerima mungkin semakin berkurangan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN