Singapura, UAE sumbang vaksin Covid-19 kepada Johor - Utusan Malaysia

Singapura, UAE sumbang vaksin Covid-19 kepada Johor

HASNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor bakal menerima sumbangan vaksin Covid-19 daripada Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam waktu terdekat sebagai salah satu usaha melancarkan proses vaksinasi penduduk yang dijalankan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Singapura akan menyumbang 100,640 dos vaksin jenis Pfizer manakala UAE pula akan memberi sebanyak 300,000 vaksin SinoPharm.

Malah, pada 29 Julai lalu, Singapura juga telah membuat sumbangan sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac kepada negeri itu.

“Jumlah vaksin yang telah diterima Johor di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam tempoh 1 Mac sehingga 5 September adalah sebanyak 4,713,800 dos.

“Sementara itu, sebagai tanda persahabatan erat antara Johor dan Singapura, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu manakala mereka akan turut menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer dalam masa terdekat.

“Tambahan lagi, kerajaan negeri juga akan menerima 300,000 dos vaksin SinoPharm hasil sumbangan daripada kerajaan UAE,” katanya pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu) dan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) berhubung proses vaksinasi di Johor.

Tambah Hasni, vaksin merupakan komponen utama kepada usaha untuk pulih daripada pandemik itu.

“Oleh itu, Johor telah menetapkan sasaran seramai 100 peratus populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas untuk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 16 September ini dan lengkap dua dos menjelang minggu ketiga Oktober,” ujarnya.

Sementara itu, pihaknya turut memberitahu kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif mengurangkan beban ditanggung Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ini.

“Pelbagai inisiatif dan langkah strategik telah diambil pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Malaysia di setiap peringkat pelaksanaan bagi memikul beban kerja JKNJ.

“Kerajaan negeri juga telah menggerakkan sukarelawan Southern Volunteer untuk program pendaftaran vaksin dan mengadakan kempen bersesuaian yang dilaksana agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Penghulu-penghulu dan Jabatan Perpaduan.

“Melalui program ini, sedikit sebanyak ia telah meringankan beban kerja JKNJ dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan kepatuhan dan pembudayaan norma baharu diikuti oleh rakyat Johor secara umumnya,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN