PETALING JAYA: Pelakon, Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 42, yang pada April lalu menjalani pembedahan pemindahan buat pinggang kini berada dalam keadaan stabil.
Mohd. Eyzendy yang lebih dikenali sebagai Along Eyzendy bagaimanapun memberitahu, dia perlu membuat pemeriksaan darah secara berkala untuk mengetahui keadaan kesihatan buah pinggangnya dari semasa ke semasa.
“Saya baharu sahaja dibenarkan keluar wad lima hari lalu selepas hampir dua minggu ditahan di hospital ekoran keputusan pemeriksaan darah saya tidak memuaskan.
“Enam bulan hingga setahun adalah tempoh yang kritikal untuk saya. Hal itu kerana dalam tempoh tersebut, doktor perlu memberi ubat mengikut jumlah dos yang disesuaikan dengan keadaan semasa buah pinggang saya.
“Jadi, jika ujian darah negatif, saya perlu dimasukkan ke wad untuk dipantau. Begitu juga sebaliknya, jika hasil pemeriksaan darah saya positif, saya hanya perlu berada di rumah dan hadir membuat pemeriksaan darah seminggu sekali,” katanya.
Along pada April lalu yang menjalani pemindahan buah pinggang selepas disahkan mengalami kerosakan pada organ tersebut, menerima buah pinggang baharu yang didermakan isterinya, Hamidah Mohd. Yatim, 36.
Dia kini terpaksa berpindah ke Hospital Serdang kerana Hospital Selayang tempat dia mendapatkan rawatan kini dijadikan pusat rawatan bagi pesakit Covid-19.
Along berkata, isterinya kini berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami masalah kesihatan selepas pembedahan dijalankan.
“Baru-baru ini dia hadir janji temu di hospital. Doktor yang memeriksa mengesahkan kesihatannya cukup memuaskan dan hanya perlu hadir janji temu yang akan dibuat pada tahun 2023.
“Cuma kadangkala dia akan berasa sedikit kepenatan. Saya faham keadaannya yang sekarang ini hanya bergantung pada satu buah pinggang,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Bunohan ini memaklumkan terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
“Pada masa yang sama, saya juga ada menerima tawaran berlakon untuk beberapa bulan akan datang. Tetapi saya khuatir keadaan saya yang adakalanya perlu keluar masuk wad akan menyusahkan ramai pihak.
“Saya sihat, boleh bekerja. Cuma doktor menasihatkan agar saya tidak membuat kerja yang membebankan diri. Jadi, kalau ada pengarah yang boleh bertolak ansur, saya tidak ada masalah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










