Senarai PPV datang terus untuk remaja diumum esok - Utusan Malaysia

Senarai PPV datang terus untuk remaja diumum esok

KHAIRY Jamaluddin dan Radzi Jidin beramah mesra bersama pelajar ketika hadir PICK Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada yang sedang beroperasi di seluruh negara akan digunakan bagi program pemberian suntikan vaksin kepada pelajar sekolah.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar pada pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini, hari ini.

Khairy berkata, senarai penuh PPV berkenaan akan diumumkan esok membabitkan beberapa buah negeri.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu, golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun boleh menerima suntikan vaksin secara datang terus atau walk-in di PPV berkenaan.

“Kaedah jumpa terus itu adalah antara dua kaedah diperkenalkan Kementerian Kesihatan bagi golongan remaja selain secara jangkau luar di sekolah.

“Bagi kaedah jangkau luar, sebagai contoh, SMK Putrajaya 8 (1) akan menjadi PPV sementara yang akan digunakan pada hari pemberian vaksin sahaja,” katanya.

Katanya, setiap remaja juga mesti ditemani salah seorang ibu bapa atau penjaga kerana mereka  perlu mengisi surat kebenaran mendapatkan vaksin dan ia mesti ditandatangani di hadapan doktor bertugas.

Ditanya sama ada kerajaan membuat perolehan baharu vaksin bagi memenuhi keperluan PICK Remaja, Khairy berkata, buat masa ini, kerajaan mempunyai cukup bekalan bagi program itu.

“Malah, ia juga mencukupi bagi bekalan permulaan bagi suntikan dos penggalak vaksin,” katanya.

Katanya, perincian penuh mengenai program suntikan dos penggalak akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Terdahulu, Khairy turut menyaksikan proses suntikan vaksin kepada golongan remaja khususnya pelajar SMK Putrajaya 8 (1) ditemani Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Sementara itu, Radzi berkata, seramai 323 orang pelajar SMK Putrajaya 8 (1) terdiri daripada 156 pelajar Tingkatan 4 dan 167 pelajar Tingkatan 5 dijangka menerima dos pertama mereka hari ini.

Sebelum ini, PICK Remaja sudah dilaksanakan di Sarawak dan Sabah bermula 8 September lalu melibatkan 85,076 remaja sudah menerima dos pertama masing-masing setakat 16 September lalu. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya