PADANG BESAR : Penuhkan kontena dengan daun ketum sebelum diseludup keluar menggunakan lori atau kereta api ke negara jiran.
Itu taktik terbaharu sindiket penyeludupan daun ketum melakukan aktiviti terlarang tersebut kononnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa di sempadan negara.
Taktik sindiket tersebut telah dikesan sejak seminggu lalu di mana mereka mengumpulkan daun ketum yang dibawa ke kawasan kargo kontena antarabangsa di Padang Besar itu menggunakan motosikal, pikap ataupun lori sebelum diisi ke dalam kontena.
Kontena berkenaan boleh memuatkan sehingga tujuh tan metrik daun ketum.
Kegiatan tersebut bagaimanapun berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) yang apabila menahan seorang suspek serta merampas 700 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM21,000 di kawasan kargo kontena antarabangsa di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, Superintenden Ramli Wan Salin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang sedang leka memunggah bungkusan berisi daun ketum ke dalam kontena.
Katanya, suspek yang merupakan pengurus di kawasan kontena tersebut dipercayai akan memenuhkan kontena yang bersaiz 5.1 meter tersebut sebelum dibawa keluar menggunakan lori ke Thailand.
“Kami sudah menjejak kegiatan mereka ini selama seminggu dan ini merupakan taktik baharu yang digunakan sindiket berbanding menggunakan jalan hutan dan sempadan.
“Kontena ini dipercayai akan dipenuhi dengan ketum sahaja dan boleh mencapai sehingga tujuh tan metrik apabila penuh,” katanya ketika ditemui di lokasi rampasan tersebut hari ini.
Tambah Ramli, dua buah kontena yang bernilai kira-kira RM30,000 dan sebuah motosikal turut dirampas dalam serbuan itu.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE