Sasaran karbon sifar bersih seawal 2050 - Utusan Malaysia

Sasaran karbon sifar bersih seawal 2050

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kerajaan mengumumkan komitmen pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya tahun 2050.

‘Net-zero emissions’ adalah merujuk kepada pengimbangan pelepasan dan penyerapan gas rumah kaca (GHG).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perincian langkah-langkah bagi mencapai sasaran ini diumumkan tertakluk kepada kajian Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022.

Menurutnya, LT-LEDS akan menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi GHG bagi sektor-sektor ekonomi utama negara dan ini akan menjadi asas untuk menentukan hala tuju dan tahun sasaran ‘net zero’ negara.

“Bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti carbon pricing termasuk cukai karbon dan skim perdagangan karbon domestik akan diperkenalkan,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman aspirasi sasaran ‘net-zero emissions’ tersebut menunjukkan komitmen negara dalam menangani isu perubahan iklim yang berpotensi menarik pelaburan asing ke dalam negara terutamanya pelaburan rendah karbon dan teknologi hijau.

“Perkara ini adalah penting untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan mengangkat status Malaysia sebagai hab pelaburan hijau.

“Dalam masa sama, ini juga menjadi hala tuju kerajaan serta pemegang taruh lain untuk mengintegrasi dan mengarus perdana isu perubahan iklim termasuk GHG dalam rancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar negara,” jelasnya.

Tuan Ibrahim berkata, bagi sektor swasta pula, ia akan memangkin transformasi syarikat swasta dan pemain industri ke arah kemampanan melalui pelaksanaan pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Tambahnya lagi, kerajaan percaya sinergi usaha dan kerjasama antara kerajaan bersama pemegang taruh lain adalah kunci utama bagi menjayakan agenda perubahan iklim serta menyumbang kepada pertumbuhan sosio dan ekonomi negara.

“Sektor- sektor utama yang akan menyumbang kepada sasaran ‘net zero emissions’ adalah sektor tenaga yang meliputi aktiviti-aktiviti pembekalan elektrik, pengangkutan, dan industri minyak dan gas asli.

“Sektor industri pembuatan dan pemprosesan yang meliputi industri seperti mineral (simen, kapur, batu kapur), kimia dan logam serta sektor pertanian seperti penanaman padi, ternakan dan pembajaan,” katanya

Katanya lagi, sektor guna tanah, perubahan guna tanah dan perhutanan seperti komoditi, perhutanan dan penyahhutanan serta sektor sisa seperti sisa pepejal, sisa kumbahan domestik dan sisa kumbahan industri turut menyumbang kepada usaha ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya