KOTA BHARU: Ketika penggiat seni tradisional di negeri ini kian terhimpit mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), siaran langsung ‘Samah, Serial’ menerusi Facebook Arrasy Entertainment sedikit sebanyak menyelamatkan mereka.
Program hiburan setiap Jumaat itu ibarat talian hayat para penggiat seni tradisional kerana membolehkan mereka terus membuat persembahan sekali gus mencari sumber pendapatan demi kelangsungan hidup sepanjang pandemik Covid-19.
Pengarah Urusan Arrasy Entertainment, Mohamad Ausri Husin berkata, program inisiatif pihaknya bermula Mac lalu bertujuan membantu golongan penggiat seni Kelantan dan setakat ini sudah menampilkan lebih 100 individu atau kumpulan.
“Alhamdulillah, ‘Samah, Serial’ semakin dikenali dan tontonan ‘live’ paling tinggi pernah dicapai setakat ini ialah 8,000, sekali gus menaikkan semangat para penggiat seni untuk terus berkarya. Lagipun sekarang kerajaan sudah benarkan persembahan pentas.
“Kami turut menyediakan sedikit saguhati kepada penggiat seni yang dijemput untuk membuat persembahan dengan tujuan berkongsi rezeki kerana tahu mereka terjejas teruk di musim Covid-19 ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Mohamad Ausri, program secara langsung itu bermula pukul 9 hingga 11.30 malam setiap Jumaat dan dihoskan oleh Poyie Gasi bersama Shah APZ.
Turut melakukan inisiatif sama, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKNK) Kelantan yang tidak pernah sepi mengadakan program hiburan secara dalam talian sebelum memanggil para penggiat seni tempatan untuk mengisi slot tersebut.
Pengarah JKKN negeri, Rosnan Abdul Rahman berkata, walaupun berdepan kekurangan dana sepanjang musim PKP, pihaknya tetap berusaha menyantuni penggiat seni di negeri ini bagi memastikan nasib mereka terus terbela.
“Sejujurnya, kami tidak mempunyai dana khusus untuk membantu mereka, namun kami berjaya menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat yang sudi menaja,” katanya.
Selain itu katanya, JKKN Kelantan turut menjadi pemudah cara dengan memberikan penerangan kepada penggiat seni di negeri ini bagi memohon bantuan menerusi Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana). -UTUSAN ONLINE