RM16 bilion untuk program termasuk tebatan banjir - Utusan Malaysia

RM16 bilion untuk program termasuk tebatan banjir

poster RMK-12
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Beberapa projek yang menelan belanja sebanyak RM16 bilion ringgit untuk bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan  Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dilaksanakan bagi mengelakkan fenomena seperti bencana kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek itu melibatkan program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir.

“Saban tahun, rakyat di seluruh negara dilanda bencana banjir dan tanah runtuh. Bencana ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa dan mata pencarian. Baru-baru ini berlaku bencana seperti fenomena kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda di Kedah, banjir di Penampang, Sabah serta tanah runtuh di Kemensah Heights, Selangor.

“Sehubungan itu, penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda. Dalam hubungan ini, beberapa projek dengan kos sebanyak 16 bilion ringgit bagi tempoh RMK12 dan RMK13 akan dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Jelas Ismail Sabri lagi, sektor air perlu ditransformasi secara menyeluruh bagi menjamin bekalan dan kemampanan.

“Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMKe-12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi bagi menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

“Pelaksanaan agenda ini melibatkan 4 fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiat pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan percemaran.

Jelasnya lagi, tadbir urus air akan ditambah baik melalui pemerkasaan peranan dan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undang-undang.

Selain itu, mekanisme pembiayaan inovatif akan dikaji, di samping menyediakan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW).

“Pelaksanaan inisiatif ini akan mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada tahun 2025. Kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos 25.8 bilion ringgit untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN