PETALING JAYA: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyemak kembali dan membuat ketetapan baharu mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) masjid dan surau.
Yang di-Pertua PUM, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, perkara itu perlu dibuat selaras dengan perkembangan semasa peralihan fasa yang diumumkan pihak kerajaan berasaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, perkara amatlah wajar kerana terdapat beberapa isu yang berlaku di mana rakyat amat merindui kesempatan untuk hadir solat di masjid dan surau yang ada.
“Kejadian yang tular pada hari Jumaat di sebuah masjid di Putrajaya, menunjukkan betapa ada rakyat yang sanggup menunggu untuk melaksanakan kewajipan solat di masjid.
“Kami sedar bahawa peraturan sedia ada perlu dihormati oleh semua pihak termasuklah had jumlah bilangan tertentu sahaja dibenarkan ke masjid, jemaah perlu melalui proses pendaftaran dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, tular satu video dalam media sosial menunjukkan orang ramai yang sedang beratur di luar pintu masjid tidak dapat menunaikan solat jumaat berikutan had kapasiti jemaah sudah penuh.
Abdul Halim menambah, beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan agar surau-surau di beberapa lokasi seperti di pejabat atau di taman-taman perumahan dapat diberikan kelulusan sementara bagi melakukan solat Jumaat berdasarkan SOP yang ditetapkan.
Katanya, perkara itu pasti akan memberi kesempatan dan ruang yang lebih kepada rakyat untuk melaksanakan kewajipan Solat Jumaat dalam suasana pandemik ini.
“PUM percaya bahawa usaha ini akan dapat memberikan impak dan kesan terutama dari aspek kesejahteraan psiko-spiritual rakyat.
“Rakyat sangat memerlukan kekuatan rohani buat masa sekarang setelah sekian lama terhalang untuk melakukan ibadah di masjid dan surau,” jelasnya.
PUM berharap dan berdoa agar sesuatu yang terbaik dapat diusahakan di bawah inisiatif Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Idris Ahmad bagi kesejahteraan bersama Keluarga Malaysia. -UTUSAN ONLINE