Pulau Pinang laksana fasa kedua MOVAK untuk penjaja dan peniaga - Utusan Malaysia

Pulau Pinang laksana fasa kedua MOVAK untuk penjaja dan peniaga

SEBAHAGIAN  daripada orang ramai yang datang untuk mendapatkan vaksin di PPV Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang akan melaksanakan fasa kedua Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) penjaja dan peniaga selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, fasa kedua program itu diadakan susulan kejayaan fasa pertama yang dilaksanakan pada 30 Ogos hingga 2 September lalu.

Menerusi fasa pertama itu katanya, Pulau Pinang berjaya memastikan kira-kira 11,000 penjaja, peniaga dan pekerja mendapat vaksin Covid-19.

“Secara keseluruhannya, lebih 5,000 penjaja dan peniaga akan divaksin menerusi fasa kedua program tersebut yang bermula Khamis ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

Menurut Jagdeep, fasa kedua program berkenaan akan diadakan di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth dan di Dewan Seri Pinang di sini.

Katanya, kapasiti bilangan penjaja dan peniaga yang djangka divaksin ialah antara 650 orang sehari di setiap lokasi yang telah ditetapkan.

“Para penjaja dan peniaga yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang akan menerima tarikh janji temu dan lokasi untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Tambahnya, setakat 6 September lalu jumlah pendaftaran untuk program Movak adalah 17,340 peserta dengan 11,000 telah divaksinkan pada minggu lepas.

“Saya berharap melalui program ini sasaran untuk imuniti berkelompok akan dicapai dan kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN