SEBERANG PERAI: Polis merampas sejumlah minuman keras dan rokok tidak bercukai yang diseludup di sebuah rumah di Kampung Selamat, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, serbuan dijalankan di rumah berkenaan yang dijadikan stor simpanan kira-kira pukul 9.45 malam.
“Menerusi serbuan terbabit, kita berjaya merampas rokok jenama Tex (58 karton); Paradox (42 karton) dan Gudang Garam (32 karton).
“Selain itu, sebanyak 52 botol dan 3 karton minuman keras yang tidak bercukai turut ditemui menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM9,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki warga asing yang mengakui terlibat dalam urusan penjualan barangan tidak bercukai terbabit.
Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Butterworth hari ini bagi permohonan tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) AKta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.- UTUSAN ONLINE