PETALING JAYA: Gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) akan terus diperkukuhkan walaupun kerjasama UMNO dalam PN menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat masih kabur.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, agenda perpaduan politik Melayu Islam perlu diteruskan demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama.
“Fokus kita sekarang adalah terhadap PN itu sendiri untuk menguatkan PN dalam menjaga rakyat dan memulihkan negara. Sekiranya berlaku pertembungan banyak penjuru selepas ini, PN tidak akan terkesan dan terus kukuh bersama Pas, Gerakan, SAPP dan STAR.
“PN telah meletakkan standard tinggi kepada negara apabila bertegas dengan isu ketelusan, integriti serta menolak salah laku dan penyelewengan,” jelas beliau dalam satu kenyataan di lama Facebook hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kerjasama yang akan diberikan terhadap parti yang ‘sealiran’ di bawah PN terutama bagi menghadapi PRU-15.
Beliau berkata bahawa PN akan berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan dengan andaian UMNO tidak akan menyokong PN pada PRU-15 nanti walaupun sekarang ini hala tuju UMNO dilihat masih tidak jelas.
Wan Saiful turut menyeru agar semua komponen PN untuk membina jentera pilihan raya secara bersama dengan menjaga ukhwah dan Keluarga Malaysia yang harus dijiwai dan dizahirkan dalam perjuangan membela rakyat.
Jelasnya, PN tidak boleh berpecah serta terus membina kekuatan parti dan gabungan demi rakyat dengan bergerak dan aturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara.
Tambahnya, Ini perlu dilakukan supaya rakyat nampak bahawa PN benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara. -UTUSAN ONLINE