Pilu kenang nasib anak lumpuh selepas pembedahan - Utusan Malaysia

Pilu kenang nasib anak lumpuh selepas pembedahan

MOHD. HUSZAD Mohd. Ali (kiri) melihat keadaan Muhamad Shafiq Ikmal yang lumpuh hampir separuh badan ketika ditemui di kediamannya di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pilu melihat nasib seorang bapa di Masjid Tanah di sini, yang tidak putus asa memohon sumbangan orang ramai berjumlah RM10,000 bagi membeli sebuah kerusi roda elektrik khas untuk kegunaan anak lelakinya yang lumpuh selepas menjalani pembedahan tiga tahun lalu.

Mohd. Huszad Mohd. Ali, 54, berkata, Muhamad Shafiq Ikmal, 21, disahkan menghidap penyakit yang jarang dihidapi oleh lelaki iaitu Sindrom Kabuki dengan Scoliosis pada 2018.

Menurutnya, dia mendapatkan rawatan awal di Hospital Melaka sebelum dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Kuala Lumpur kerana mempunyai kepakaran tentang tulang.

“Doktor pakar menasihatkan anak saya menjalani pembedahan dan memberi harapan bahawa risiko kegagalan sangat kecil iaitu dua peratus. Bagaimanapun, setelah selesai pembedahan dan menerima rawatan susulan seperti fisioterapi, anak saya masih sama tidak boleh berjalan.

“Dia kini lumpuh daripada paras dada hingga kaki dan memerlukan bantuan ahli keluarga untuk menguruskan diri. Saya cuba juga berubat cara kampung hingga sanggup ke Batu Pahat di Johor, tetapi masih tidak berhasil.

“Dia seorang anak yang ceria, aktif dan suka bergaul, namun berubah menjadi seorang yang pendiam. Ada ketika dia menangis seorang diri dan apabila ditanya mengapa, dia menjawab mahu berjalan semula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Mohd. Huszad, dia ralat apabila pihak hospital berterusan memanjangkan tempoh pemulihan anaknya, meskipun sudah tiga tahun berlalu tanpa sebarang perubahan.

“Daripada tempoh beberapa hari ditukar kepada enam bulan, lepas itu setahun dan kemudian dua tahun. Tiada penjelasan kukuh diberikan kepada saya.

“Selain itu, sudah lebih setahun saya tidak mendapat tarikh janji temu untuk rawatan susulan dengan alasan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya yang merupakan seorang pesara tentera.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 14128-29-00009739-1 (Muhamad Shafiq Ikmal Mohd. Huszad). – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN