Perubahan angin monsun punca banjir - Utusan Malaysia

Perubahan angin monsun punca banjir

TUAN Ibrahim Tuan Man melihat pelan projek Rancangan Tebatan Banjir bagi daerah Batu Pahat sempena lawatan beliau ke Parit Basri Darat, Sri Medan, Batu Pahat. Gambar: NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Perubahan angin monsun ketika ini menjadi faktor kejadian hujan lebat yang berlaku tanpa dijangka sehingga mengakibatkan banjir.

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun musim tengkujuh diramalkan berlaku pada bulan Oktober, namun beberapa kawasan di sekitar negara ini dilaporkan telah dinaiki air akibat taburan hujan.

 

“Adakalanya, amaran cuaca buruk belum dikeluarkan, namun, kejadian banjir telah berlaku terlebih dahulu. Justeru, kita mohon komuniti untuk sama-sama memainkan peranan dengan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah ke dalam parit.

 

“Tabiat itu boleh mengundang lebih banyak keburukan sehingga menyumbang masalah banjir di sesebuah tempat. Oleh demikian, masyarakat diminta untuk sentiasa berwaspada dan bersama memainkan peranan menjaga alam sekitar,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, di sini, hari ini.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kementerian terbabit turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor yang menarik balik cadangan pelan pembangunan ke atas Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU) dan membatalkan pemberimilikan tanah kepada syarikat terlibat.

 

“Kami di pihak kementerian sendiri berhasrat kawasan-kawasan tadahan air dapat dipelihara dan negara kita masih mengekalkan 55 peratus hutan di Malaysia. Sebahagian kerajaan-kerajaan negeri yang ada telah mematuhi had tebangan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli.

 

“Saya menyambut baik semua usaha-usaha untuk pewartaan kawasan tadahan air supaya kawasan berkenaan sentiasa terpelihara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN