PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin tunggal CanSino.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah menerima permohonan daripada CanSino berhubung dos penggalak itu.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memantau data klinikal dari negara lain berhubung penggunaan dos kedua bagi penerima Cansino itu.
“Sekiranya didapati mereka (negara luar) memberikan dos kedua selepas pemberian dos tunggal itu, kita akan mempertimbangkan.
“Berkemungkinan, penerima CanSino juga akan menerima dos penggalak selepas enam bulan diberikan pelalian berkenaan,” katanya pada sidang akhbar pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan remaja (PICK Remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah bagi perolehan bekalan Cansino memandangkan syarikat pembekal vaksin itu sudah mempunyai kilang pengeluarannya di negara ini.
Sebelum ini, Khairy memaklumkan, suntikan dos penggalak kepada orang awam akan dimulakan bulan depan.
Menurut beliau, bagi dos ketiga, kebenaran perlu diperoleh daripada NPRA sebab badan berkenaan hanya beri meluluskan suntikan dua dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
Buat permulaan, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan termasuk warga emas yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi. – UTUSAN ONLINE