SEREMBAN: Seramai 500 penghantar makanan di negeri ini menjadi perintis penerima manfaat kepada program Skim Takaful Tabah 2021 yang diberikan secara percuma melalui Insiatif Tabung Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) dalam tempoh setahun.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, skim perlindungan insurans kemalangan bagi penghantar makanan itu sekali gus sebagai perlindungan diri ketika golongan itu melaksanakan tugasan.
“Sekiranya berlaku kematian, pihak waris akan menerima pampasan sebanyak RM10,000 dan RM1,000 bagi khairat kematian.
“Sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan kecacatan kekal, peserta akan menerima sebanyak RM10,000. Bagi tuntutan hospital, sebanyak RM1,000 diberikan.
“Skim yang bernilai RM30 ini adalah percuma untuk 500 orang penghantar penghantar makanan di seluruh negeri ini selama setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Takaful Tabah 2021 di Seremban hari ini.
Turut diadakan pada majlis tersebut adalah taklimat pematuhan pemanduan secara berhemah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan senaman ringkas oleh guru sains sukan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, skim takaful berkenaan akan melindungi penghantar makanan yang mendaftar di negeri ini.
“Sehingga kini, seramai 100 orang penghantar makanan yang telah memohon secara dalam talian pada peringkat pertama ini. Bagaimanapun, kami masih giat menyebar luas maklumat melalui aplikasi WhatsApp dalam kumpulan pelbagai jenis syarikat penghantar makanan.
“Jika diikutkan terdapat seramai 1,000 penghantar makanan di negeri ini dan saya dimaklumkan mereka mendapat pendapatan lumayan melalui penghantaran makanan ini.
“Sekiranya program ini masih boleh diteruskan, saya rasa mereka (penghantar makanan) mampu membayar untuk meneruskan program skim takaful pada masa hadapan,” katanya.
Mohamad Taufek berkata, sebelum ini, melalui Tabah juga, kerajaan negeri telah membantu memberi vaksin Covid-19 kepada penghantar makanan di negeri ini.
“Seramai 1,000 penghantar makanan telah terlibat dalam program vaksinasi yang dijalankan. Kami mengiktiraf mereka sebagai petugas barisan hadapan kerana mereka bertugas menyara kehidupan dengan menghantar makanan kepada pelanggan ketika negara dilanda wabak Covid-19,” katanya.
Mana-mana penghantar makanan yang berminat mendapatkan skim takaful berkenaan boleh melayari akan Facebok: Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan -TABAH yang mempunyai pelbagai maklumat dan panduan mengisi borang skim berkenaan. -UTUSAN ONLINE