PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu setiap universiti menghubungi penuntut yang belum divaksin dengan menggalakkan mereka mendapatkannya secara walk in yang kini dibuka khusus untuk golongan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pihaknya yakin pihak universiti yang mempunyai mekanisme tersendiri tahu bagaimana untuk menangani isu pelajar yang belum divaksin.
Menurutnya, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) juga diberi ruang untuk divaksinasi sebelum mengikuti pengajian secara bersemuka dan langkah itu bagi memberi keadilan dan kebaikan kepada semua berpandukan prinsip ‘tiada seorang pelajar pun akan ketinggalan’.
“KPT pada masa sama menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 pasca kemasukan pelajar yang dianggotai semua naib canselor dan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian sebagai langkah proaktif pada peringkat makro.
“Sepanjang dua lawatan kerja iaitu ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya mendapati setiap universiti mempunyai kerangka pengurusan Covid-19 untuk pelajar mereka sendiri,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan, lebih 200,000 penuntut IPT yang belum divaksin, kini boleh berbuat demikian secara ‘walk-in’ di pusat pemberian vaksin (PPV).
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima rekod daripada KPT yang menunjukkan seramai 547,595 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara sudah pun lengkap vaksin.
Angka itu mewakili 53.2 peratus tetapi semakan kementerian juga mendapati lebih 195,000 atau 37.5 peratus pelajar IPT awam langsung tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi.
Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding pelajar IPT swasta yang tiada rekod pendaftaran imunisasi iaitu lebih 51,000 atau 10.2 peratus sahaja setakat ini. – UTUSAN ONLINE










